Alhamdulillah, kalimah syukur hanya layak dipanjatkan kepada Allah SWT. Kalimah yang menggetarkan jiwa-jiwa mereka yang beriman.
Dengan mengucapkan “Alhamdulillah” -,
atas segala kurniaan, penganugerahan dan pemberian nikmat yang pelbagai. Ia
adalah lambang kehambaan, keimanan, ketundukan dan kekerdilan sebagai seorang
hamba Allah SWT.
Bangunnya kita daripada tidur pagi ini –
harus dimulai dengan kebeningan hati yang bersyukur dan bersyukur.
Di pagi sangat sungguh indah dan penuh
berkah.
Embun yang menitis setiap pagi begitu
dingin.
Kedinginan, kesejukan dan kesegaran inilah
menguatkan lagi rasa kesyukuran kepada Yang Maha Esa.
Udaranya terjaga, bersih, nyaman dan
menyegarkan. Menghirup udara yang masih terpelihara daripada nafas-nafas sang
pendosa. Hiruplah udara di awal pagi sebelum fajar. Ia adalah waktu-waktu
bersendirian bagi mukmin muslim yang sedang khusyuk bermunajat dan menadah
tangan mengharapkan keampunan dan belas ehsan Sang Pencipta.
Alhamdulillah.
Allah SWT mendidik kita untuk bersyukur,
satu kata yang lebih luas maknanya daripada berterima kasih. Syukur, ia lahir
daripada natijah, hasilan keimanan yang tersemat kukuh disanubari.
Sebuah Sketsa Kehidupan
Di dalam sebuah buku karya, Amru
Khalid iaitu Ibadah Sebening Hati terdapat suatu kisah yang
menyentuh rasa hati saya.
Suatu hari, Amru Khalid telah
bertemu dengan sekumpulan golongan remaja. Beliau terfikir suatu bentuk
persoalan untuk sembang-sembang santai bersama mereka.
“ Saya ingin mengajukan satu permainan
berbentuk soalan kepada kalian,” Soalnya.
“ Apakah nikmat yang paling besar dan
kalian paling hargai di dalam kehidupan ini,” Beliau bertanyakan soalan
kepada mereka.
Ada yang menjawab dengan penuh yakin. Ada
yang kelihatan teragak-agak . Pelbagai jawapan dan ucapan.
Ada yang menjawab : “ Nikmat
kehidupan”
Ada juga menyebut : “ Nikmat Iman dan
Islam”
Tidak kurang juga, ada yang menyatakan :
“Nikmat belajar dan ilmu”
“ Dan pelbagai lagi.”
Kemudian, seorang pemuda memberi jawapan
yang menyentuh hati Amru Khalid :
“ Nikmat Allah SWT yang sangat berharga dan
besar bagi saya ialah nikmat Allah SWT sebagai Rabb saya.” Jawabnya
tenang.
Saya terpaku, dan tersentuh.
Begitu halus, sensitif, peka dan hidup hati
pemuda tersebut.
Ya, alangkah beruntung dan berbahagianya
kita apabila dipilih untuk menjadi Muslim. Rabb, Ilah dan tuhan kita adalah
Allah SWT. Kita mempunyai tempat sembahan, pengaduan dan penyerahan segala
perasaan cinta, kasih dan sayang terhadap-Nya.
Ketika dilimpahi kenikmatan dan kesenangan,
kita mengucapkan lafaz kesyukuran kerana menyedari hakikat pemberian-Nya yang
begitu banyak.
Ketika susah, kita mempunyai tempat untuk
mengadu, merintih, meluahkan perasaan, menagih simpati, meletakan harapan kasih
dan berdoa memohon bantuan pertolongan.
Iman mulai bertapak dihati. Ia disemai dan
dibajai dengan subur dan kian mekar dijiwa hamba Rabbani.
“ tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada
keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci
kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan.”
( Al- Hujurat : 7)
Penutup : Tanyalah hati kecil kita
Jujurlah kita dengan sanubari kecil kita,
adakah kita benar-benar bersyukur dan merasai sesuatu dengan semua nikmat ini?
Saidina Umar sentiasa memberikan suatu
ungkapan yang menakjudkan serta mengetarkan jiwa perhambaan : “
Sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang hina. Lalu Allah memuliakan kami
dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain daripada apa yang
dimuliakan Allah, pasti Allah akan menghina kami.”
Ruh Islam meresapi jiwa dan perasaan kita –
sehingga kita merasa izzah (bangga) dengan keislaman, kemukminan dan kemusliman
kita. Kita tidak malu atau kekok untuk mengistiharkan – “ Saksikanlah bahawa
Aku seorang Muslim.”
Setiap hari kita akan membawa imej, lambang
dan syiar perwatakan seorang muslim dan muslimah. Muslimnya, dengan berhias
dengan akhlak muslim dengan wajahnya penuh cahaya keimanan dan kesan daripada
wudhuk dan soalan. Tidak lokek dengan senyuman dan sapaan. Muslimahnya , begitu
tenang dan bahagia mengenakan pakaian yang meliputi seluruh aurat dengan
senang, dan tiada beban. – Malah, dia bangga menjalankan perintah dan arahan
Allah SWT.
Justeru, seharusnya setiap helaan nafsa
kita yang terhembus akan selari dengan ungkapan ini :
“ Ilahi, hamba-Mu hadiri memohon keampunan,
kerahmatan dan pemeliharaan-Mu. Kasihilah diriku, suluhilah jiwa ku dengan
cahaya hidayah-Mu, kurnialah kepada pengakhiran yang baik dan masukilah aku ke
dalam golongan ahli Jannah-Mu yang indah lagi mempesonakan.”
Itulah yang diperbuat hasil keimanan
Membuka mata dan hati
Menumbuhkan kepekaan.
Menyinari kejelitaan, keserasian dan
kesempurnaan
Iman adalah persepsi baru terhadap alam,
Apresiasi baru terhadap keindahan.
Dan kehidupan di muka bumi.
Di atas pentas ciptaan Allah,
Sepanjang malam dan siang
Cetusan rasa sanubari – Sayyid Qutb –
Alhamdulillah, syukur sehingga hari ini
kita semua berusaha untuk terus menerus menjadi seorang muslim dan muslimah
yang taat sepenuhnya kepad Allah SWT.
Semoga Allah SWT berikan kita kekuatan.
Kita perlu mencari alasan dan kekuatan untuk terus menjadi kuat.
Kuat keimanan.
Kuat ketaqwaan.
Kuat dalam beramal dengan amal keislaman.
Ayuh kita kuat dengan sentiasa bersyukur!
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
via : langitilahi
via : langitilahi
No comments:
Post a Comment