Politik dan Islam tidak dapat dipisahkan,
justeru ia adalah sebahagian daripada cara hidup manusia. Namun politik yang
bagaimana? Ini yang menjadi persoalan. Sebahagian daripada pejuang
Islam sendiri kabur dengan makna dan kehendak politik sebenarnya. Mereka
terikut-ikut dengan aliran politik barat dan mengharapkan Islam dapat
ditegakkan dengan cara itu. Malah mereka marah jika ada pejuang Islam
lain yang tidak mahu terjebak dengan perangkap musuh-musuh Islam melalui bidang
politik tajaan orang-orang kafir.
Mengapa ini terjadi? Ini disebabkan umat Islam tidak pernah didedahkan kepada satu bentuk politik yang bersih, kuat dan strategik. Kini sudah
tiba masanya kita mendedahkan apa itu politik Rasulullah dan bagaimana matlamat
serta perlaksanaannya. Jarang benar ketokohan Rasulullah SAW ditonjolkan
dalam bentuk bagaimana baginda berpolitik untuk menaikkan Islam di tengah
jahiliah. Bagaimana ia memproses peribadi-peribadi yang dulunya
menentang Islam? Ke arah cinta dan sanggup mati kerana Islam. Jika
rahsia ini terserlah, ertinya semakin cerahlah jalan ke arah mencontohi
Rasulullah sebagai ahli politik.
Politik ialah bagaimana hendak mentadbir manusia mengikut jalan dan matlamat
yang telah ditentukan. Politik Islam bercita-cita untuk mendidik dan
membawa manusia supaya mempunyai kesedaran, kefahaman, penghayatan dan
seterusnya dapat menegakkan kalimatullah di seluruh bidang kehidupan. Ini
dibuat melalui saranan, contoh tauladan, memberi pimpinan dan lain-lain cara
yang dibolehkan oleh syariat. Tujuannya agar semua manusia terhindar
daripada Neraka dan dapat masuk ke dalam Syurga.
Jadi, inilah garis politik Rasulullah. Dan di bidang ini tiada siapa yang
dapat menandingi baginda. Rasulullah SAW tidak memimpin secara politik
demokrasi, secara diktator atau pun secara autokrasi. Dengan kefahaman
yang tinggi tentang jiwa, akal, dan perasaan manusia, Rasulullah SAW telah
berjaya memimpin secara fitrah. Maksudnya, Rasulullah SAW membawa
manusia ke jalan yang diyakininya tanpa paksaan dan tekanan. Ia mampu
memindahkan hasrat yang terpendam dilubuk hatinya menjadi hasrat orang lain.
Ertinya politik Rasulullah ialah politik dari hati ke hati.
Allah berfirman:
"Tiada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada
kesesatan."
Atas dasar ini, Rasulullah SAW berjaya menawan jiwa manusia dan daripada
situlah seluruh harta, tenaga dan nyawa pengikut-pengikutnya diserah
bulat-bulat untuk Islam.
Di antara fitrah semulajadi manusia ialah mahu pandangannya dihormati dan
dihargai. Rasulullah sedar hakikat ini. Oleh itu apabila Rasulullah
berhadapan dengan ahli ekonomi seperti Abd Rahman bin Auf, yang minat
serta kecenderungannya di bidang perniagaan, beliau memupuk bakat itu supaya
terus subur dan berkembang. Akhirnya Abdul Rahman Bin Auf pun menjadi
pengusaha yang berjaya.
Bila Rasulullah SAW berhadapan dengan pakar di bidang ketenteraan seperti Khalid
Al Walid, maka semangat perwiranya terus disuburkan ke arah jihad fisabilillah,
kebalikan daripada semangat Assobiyah (Nasionalisma).
Bila baginda berhadapan dengan ahli fikir, pakar strateji dan kepala perancang
sepertiUmar IbnulKhattab, maka Rasulullah SAW terus mendorong ke arah bagaimana
untuk menggunakan kepakaran itu buat kemenangan dan kejayaan Islam.
Oleh itu setiap individu di kalangan para sahabat akan rasa dihargai
kerana bakat dan kelebihan semulajadinya berperanan dalam perjuangan Islam.
Seorang buruh, petani, peniaga, pentadbir dan semua lapisan masyarakat telah
disusun oleh Rasulullah SAW dalam satu barisan yang mempunyai kegunaan
dan peranan masing-masing. Atas dasar ini, jika ada gerakan Islam yang
menumpukan perhatian mereka kepada golongan 'elit' dan 'intelek' sahaja,
perjuangan mereka sebenarnya telah menyimpang daripada sirah Rasulullah SAW.!
Mari kita lihat secara dekat bagaimana individu-individu (yang mempunyai
berbagai-bagai kepakaran) itu dapat diubah daripada membina jahiliyah (dengan
kelebihan-kelebihan itu) kepada membina Islam. Sebelum para sahabat diajak
menegakkan Islam melalui bidang masing-masing, Rasulullah terlebih dahulu
menanam iman di dalam jiwa mereka. Agar dengan itu mereka akan menjadi
orang yang cintakan hidup akhirat, rindu dengan syurga, gerun dengan neraka dan
kasih sayang sesama Islam. Keadaan daripada penanaman iman dan tauhid di
dalam hati individu-individu itu, maka lahirlah peribadi-peribadi yang telah
berubah wataknya. Dari watak yang bengis dan kejam kepada kasih sayang
dan pemaaf. Daripada seorang yang pembohong, jahil dan mengutamakan
hawa nafsu kepada seorang yang jujur, berilmu dan menegakkan hukum Allah.
Tegasnya, Rasulullah SAW telah berjaya menukar mereka yang dulunya menyembah
berhala kepada menyembah Allah. Mereka yang dulunya terbiar, hidup dalam
perhambaan dan terasuh dengan jalan yang salah oleh para pemimpin jahiliyyah
kepada satu cara hidup dan perjuangan di mana bakat semulajadi terus
dipupuk dan dibajai.
Daripada penanaman iman ini lahirlah ahli fikir yang agung sedangkan
dahulu ia adalah peminum arak. Lahirlah pentadbir-pentadbir yang cekap
sedangkan dahulunya mereka adalah golongan bawahan yang tertindas.
Individu-individu yang dulunya diperhambakan oleh hawa nafsu kini menjadi
panglima perang yang gigih berperang menentang orang kafir dan menjadi abid
yang sentiasa berzikir. Inilah hasil siasah Rasulullah SAW.
Soalnya sekarang, bagaimana Rasulullah SAW menanam Iman ke dalam jiwa para
sahabat? Bagaimana Rasulullah berjaya menukar watak-watak jahiliyyah
kepada peribadi mukmin sekaligus dapat menggunakan bakat-bakat mereka untuk
Islam? Jawabnya, melalui dakwah dan tarbiah. Untuk itu
Rasulullah SAW datang ke tengah masyarakat dengan menyebarkan ilmu pengetahuan,
memberi tunjuk ajar yang baik, lunak dan menarik, bijaksana, berakhlak serta
membina model masyarakat yang disarankan melalui amal makrufat yang memberi
manafaat kepada masyarakat.
Dengan ini secara automatik Islam akan diyakini sebagai cara hidup yang terbaik
untuk mengatur kehidupan manusia. Islam nescaya diterima sepenuhnya untuk
mengatur dan menguruskan harta, perniagaan sawah ladang, keluarga, kampung
halaman, negeri, negara dan dunia seluruhnya.
Apabila Islam diterima untuk mengatur kehidupan maka terbuktilah keindahan dan
kegagahannya. Bidang ekonomi ditadbir penuh jujur, cermat, cekap dan
mendapat keuntungan yang lumayan . Begitu juga di bidang pertanian, tanaman
dan penternakan mendapat hasil yang berkat oleh tangan petani yang
beriman. Kampung ditadbir oleh ketua-ketua yang bijaksana sehingga terbinalah
kampung seperti mana yang disifatkan oleh Allah Taala di dalam Al Quran:
"Jikalau penduduk-penduduk satu kampung beriman kepada Allah dan bertakwa
nescaya sesungguhnya Kami (Allah) akan bukakan ke atas mereka itu keberkatan
daripada langit dan bumi."
Begitu juga , Rasulullah SAW berjaya menghasilkan pentadbir-pentadbir peringkat
negara sehingga tertegaklah apa yang difirmankan Allah:
"Negara makmur yang mendapat keampunan Tuhan."
Ini lah rahsia politik Rasulullah. Bermula dengan tapak dakwah dan
tarbiah yang menanamkan iman didalam hati sanubari setiap individu, sehinggalah
keyakinan kepada Allah, rasul dan hari akhirat tergambar dalam sikap dan
tindakan. Tahap kedua ialah memupuk bakat dan kelebihan semulajadi yang
ada pada individu-individu yang beriman itu dan mula mengatur bidang-bidang
yang sesuai supaya bakat mereka terus berperanan.
Akhirnya mulalah satu bentuk kehidupan Islam yang menyeluruh dapat
dilihat dan dirasakan oleh masyarakat. Kemudian dengan sendirinya Islam
akan diakui sebagai satu-satunya agama yang mampu mengatur hidup manusia.
Ertinya politik Islam bermula daripada mentadbir diri, keluarga kemudian
membina cara hidup Islam di seluruh aspek kehidupan samada di bidang pertanian, perniagaan, perubatan, pendidikan dan akhirnya sampailah ke
peringkat mengatur negara dan dunia!
Bentuk politik yang beginilah yang wajib ada dalam gerakan Islam. Dan siapa
yang menolaknya, ertinya ia telah memisahkan agama daripada politik.
Politik tidak boleh difahami secara dangkal mengikut kefahaman
setengah-setengah pihak. Politik bukanlah sekadar mengundi dalam
pilihanraya "ala-demokrasi" Barat, bukan sekadar mendaftar sebagai
anggota mana-mana pertubuhan politik atau sekadar mahu dan bercita-cita untuk
menjadi anggota parlimen dan lain-lain lagi. Jika fahaman-fahaman ini
masih berakar umbi dalam kepala kita...ini bererti kefahaman politik kita
masih sekular, masih politik yang terpisah dari agama yang pada hakikatnya
masih jauh daripada politik Rasulullah SAW.
Secara terus terang kita ingin bertanya, adakah ahli-ahli politik beragama
Islam sekarang mengikut jejak politik Rasulullah? Tidak ! Tidak ! Kebanyakan
ahli politik pada hari ini mencedok bulat-bulat politik demokrasi Barat yang
penuh dengan rebutan kuasa, guling mengguling dan tidak pernah sunyi dengan
pertarungan sesama sendiri. Mengapa ini terjadi? Ini disebabkan politik
Barat mempunyai satu matlamat iaitu kuasa. Dengan kuasa mereka yakin
dapat mengatur hidup manusia mengikut lunas-lunas ideologi yang mereka yakini.
Kapitalis dahagakan kuasa untuk melagang cara hidup kapitalis, pemuja
faham sosialis inginkan kuasa untuk menyusun masyarakat berdasarkan cara hidup
sosialis... tetapi Islam tidak menganggap kuasa sebagai satu-satunya jalan
untuk menegakkan cara hidup Islam. Ertinya pejuang Islam tidak perlu mencontohi
pejuang Nasionalis, kapitalis, sosialis, kominis yang menganggap kuasa adalah
penentu segala-galanya.
Atas dasar ini, politik Rasulullah SAW bukan politik yang bertujuan untuk
mendapat kuasa. Rasulullah berjuang terhadap orang kafir bukan hendak
meruntuhkan kuasanya, tetapi hendak meruntuhkan akidah dan keyakinan yang karut
marut dalam jiwa mereka. Mereka boleh duduk pada tempat masing-masing .
Bila akidah dan keyakinan berubah, berubahlah akhlak, sikap dan pentadbiran.
Sejarah telah membuktikan kejayaan politik Rasulullah ini, Khalid Al-Walid pada masa jahiliyyah adalah panglima tentera yang menggugat tentera
Islam, manakala beliau memeluk Islam, beliau tetap dikekalkan sebagai panglima
tentera. Saidina Umar, pada masa sebelum Islam adalah seorang pembesar
Quraisy, manakala memeluk Islam, beliau tetap dianggap Rasulullah SAW sebagai
pembesar juga. Begitulah juga yang berlaku kepada saudagar besar dan
ketua-ketua suku Arab seperti Abdul Rahman bin Auf, Abu Sufian, Amru Al-As dan
lain-lain lagi. Mereka tetap duduk dan terus berperanan dengan bakat
masing-masing...cuma hati dan jiwa sahaja yang telah diubah!
Jika orang bertanya, akan berjayakah kalau kita ikut cara Rasulullah
berpolitik?
Soalan ini samalah seperti kita bertanya adakah kita akan berjaya jika kita
mengikut Rasulullah di bidang perniagaan? Jawabnya, Rasulullah memang
berjaya. Tidak ada catitan sejarah yang menunjukkan Rasulullah
"bangkrup" dalam perniagaannya, sedangkan selama kita mengikut sistem
perniagaan dan ekonomi Barat berapa ramai yang jatuh muflis? Berapa banyak
hutang negara kita? Berapa ramai taukeh-taukeh besar bertukar menjadi
banduan sekelip mata? Berapa banyak tanah yang dicagar di bank tergadai?
Inilah jawapan kepada orang yang mahu mempertahankan sistem ekonomi Barat.
Dan inilah juga yang akan menimpa jika kita terus menafikan sistem politik Rasulullah.
Kejayaan Rasulullah di bidang siasah telah jelas dan siapa yang menurut
jejak langkahnya, InsyaAllah akan turut berjaya. Tanpa bersusah-susah
memerah otak untuk mencari punca krisis politik yang menimpa dunia hari ini,
akui sahajalah kerana kita menolak sistem politik Rasulullah.
Sukarno terperangkap dengan permainan politiknya sendiri dan akhirnya mati
sebagai tahanan di dalam rumahnya sendiri. Benn Bella digulingkan dan
disumbatkan di dalam penjara. Sadat ditembak dan mati terhina di muncung
senjata perajuritnya sendiri. Dan ramai lagi pemimpin-pemimpin Islam yang
telah, sedang dan akan jatuh terhina akibat berpolitik cara Barat iaitu cara
politik yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW.
Malah pejuang-pejuang Islam yang benar-benar ingin menegakkan Islam tetapi
masih menerima jalan politik Baratpun, turut terhina dengan kekalahan
memanjang.....
Politik berpilihanraya ala-barat bukanlah politik yang dicetuskan oleh sunnah.
Cara ini menyeret orang yang tidak tahu menahu dalam pemerintahan seperti
orang kampung, para petani, para nelayan ke kancah politik yang penuh tipu daya
dan putar belit.....
Memang mereka boleh berhujah dengan kata-kata, "Politic is not dirty,
but politicians make it dirty," tetapi kita tidak pernah melihat
kejujuran dihargai dalam politik. Memang ada ahli politik yang jujur,
tetapi politik bukanlah satu medan yang mana orang jujur boleh bertahan lama!!
Sebab itu kita ingin menyatakan bahawa," Politic is a dirty game, the
politicians make it dirtier," Sudah lumrah mengikut falsafah politik
barat, matlamat menghalalkan cara. Sedangkan mengikut politik Islam,
matlamat yang benar mesti diperjuangkan mengikut jalan yang benar. Dan
Islam menolak jalan perjuangan yang salah walaupun cita-cita dan matlamatnya
baik.
Inilah politik barat. Satu bidang yang memang ada jurang yang dirancang
di hujungnya. Mahu tidak mahu, kita "terpaksa" jatuh ke
dalamnya. Oleh itu kita mesti menolak 100% matlamat, kaedah dan apa saja yang
berkaitan dengannya. Menerimanya bererti menjemput kehinaan.
Bertolak ansur dengannya bererti rela menerima kemusnahan. Sekarang
timbul persoalan, siapakah ahli siasah yang sebenarnya?
Ahli siasah yang sebenarnya ialah dia yang dapat merancang, bertindak dan
berjuang menegakkan Islam dalam apa keadaan sekalipun.
Rasulullah adalah 'Bapa Politik Islam'. Baginda dapat mencari ruang
di celah-celah asakan jahilyyah untuk menegakkan Islam. Rencananya dapat
menembusi dinding Darul Nadwah, "Parlimen" orang Arab
jahiliyyah dan berjaya menukar orang yang pernah duduk di kerusi Darul
Nadwah menjadi "orang penting" dalam pemerintahan Islam. Sebab itu
bukanlah mustahil jika ada pejuang Islam yang mampu mengubah tokoh-tokoh
politik yang sedang berkuasa sekarang kepada cara pemerintahan dan pentadbiran
Islam. Sekali lagi, kita katakan....Ini tidak mustahil!!!
Tetapi kenyataan ini akan menimbulkan isu kontravesial terutamanya di kalangan
parti-parti politik yang bercorak Islam. Apa yang dilakukan oleh
parti-parti ini bukanlah hendak menawan hati lawannya dengan menanam iman dan
takutkan Allah, tetapi hendak menawan kedudukan dan kerusi-kerusi kebesaran
mereka. Sebab itu tidak hairanlah jika datang tentangan yang hebat dari
lawan mereka dan timbul tuduhan-tuduhan daripada masyarakat Islam yang
mengatakan mereka inginkan pangkat dan kedudukan, bukan hendak meninggikan
syariat Islam.
Lebih-lebih lagi , parti-parti politik ini suka mencari kesalahan parti
musuhnya, kemudian ditelanjangkan di khalayak ramai. Ini bukan cara
politik Rasulullah dan ini menyimpang terus dari ajaran Islam. Jika kita
terus menerus mengamalkan cara ini, percayalah, perjuangan kita tidak akan
sampai ke mana, orang semakin hari semakin lari dan benci kepada kita.
Akibat daripada ini, kita tuduh masyarakat lari dari Islam, walaupun yang
sebenarnya mereka lari daripada kita. Sebaliknya di pihak masyarakat pula
, mereka menganggap Islam itu ganas, kasar dan menyusahkan sedangkan yang
sebenarnya ahli politik itulah yang bersikap demikian, bukan ajaran Islam!
Pengalaman-pengalaman yang kita telah alami, terutamanya peristiwa-peristiwa
pahit yang melanda masyarakat Islam akibat perebutan kuasa sepatutnya telah
lama mengajar kita bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk kembali kepada
sistem politik Rasulullah. Masyarakat sepatutnya dapat menilai politik
yang mana yang dapat memberi kebahagiaan dan keamanan untuk negara. Apakah
kita masih mahu mempertahankan sistem politik yang menimbulkan huru-hara?
Atau mulai saat ini kita menerima politik Rasulullah yang telah terbukti
berjaya? Terpulanglah kepada masyarakat menimbangkannya.
( Artikel dari pembacaan )
No comments:
Post a Comment