Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;
Satu. Kita mesti sentiasa bersangka
baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau
akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara
yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.
Dua. Kita mesti sentiasa bersangka
baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang
untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut
tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang
pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling
ikhlas dalam memberi.
Tiga. Kita mesti sentiasa bersangka
baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka,
bagaimana mahu menebar bahagia?
Empat. Kita mesti sentiasa bersangka
baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah
mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk
persefahaman dan kesatuan hati.
Lima. Kita mesti sentiasa bersangka
baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan
dosa.
Enam. Kita mesti sentiasa bersangka
baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita
fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.
Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka
baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah
sentiasa selama masih bernyawa!
"Wahai orang-orang yang beriman!
Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang
dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin
kerana dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama.
Maka aku yang tahulah harus mengajaknya."
"Kenapa dia pulang ke universiti
bersama seorang lelaki? Oh, mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak
mengenali siapa keluarganya. Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam
perjalanan sehingga dia terpaksa menumpang lelaki tersebut."
"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh
tanpa sebarang SMS atau call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu.
Aku sebagai sahabat mestilah memahaminya."
"Kenapa dia tak membalas senyumanku
waktu berselisih ke kelas tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu
yang membelenggu fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi
senyuman lagi."
"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah
yang suka memberi tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering
melakukan kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah
yang mesti saling menasihati dan mengingatkan."
Seorang mukmin itu bersangka baik
terhadap orang lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati
dengan alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.
Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat
berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan
langkah untuk berjaga-jaga.
Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi,
terdengar bunyi dari rumah jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang
bertopeng penuh di muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan
bahawa tuan rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah
sambil memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.
Andai mulut tidak bisa berhenti daripada
mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka
diam itu lebih baik.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah
SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka
hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa
beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya.
Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia
memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment