Wednesday 24 April 2013

Iktibar daripada Sebatang Pensel




Bismillah..

Pernah seorang anak lelaki bertanya kepada ibunya yang sedang menulis.
"Apa ibu sedang tulis? Ibu menulis tentang siapa? Atau pengalaman ibu?"
"Ibu menulis tentang diri kamu sayang, tapi ada yang lebih penting daripada itu iaitu pensel ini."
"Apa yang istimewa tentang pensel ini?" tanya si anak.
"Ibu berharap hidupmu adalah seperti pensel ini. Walaupun sebatang pensel, ada lima nilai yang boleh kita pelajari daripadanya. Mahu tahu?"
"Ya, ibu."

Pertama, pensel ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. Jangan lupa, ibarat pensel, ada tangan yang memegangnya. Maka, ingatlah akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah s.w.t. Dia akan selalu membimbing kita menurut kehendakNya.

Kedua, ketika menulis, pensel kerap menjadi tumpul. Ibu terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel ini pasti menderita ketika diraut, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam hidup kamu. Kamu mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk dirimu menjadi lebih baik.

Ketiga, pensel ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini semula. Begitulah yang ibu harapkan kepada anak ibu ini, sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kesalahan, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.

Keempat, tahukah anak ibu mana yang  lebih penting; luar atau isi pensel ini? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu itu dan hindarilah.

Kelima, pensel ini selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga kamu, apa sahaja yang kamu buat pasti akan meninggalkan kesannya pada diri atau pada orang lain. Ibu berharap kamu akan selalu berhati-hati dan bijak dalam bertindak.

Inilah antara kata-kata yang baik untuk si anak membawa prinsip yang positif. Wahai ibu bapa, jangan berputus asa. Apa sahaja kata-kata semangat yang kita ulang-ulangkan kepada anak-anak ( walau nampak seperti mereka tidak mengendahkan ) pasti akan memberi bekas dalam jiwa mereka. Ulang-ulangkanlah!

Sumber : Majalah solusi, isu no.35








Tuesday 23 April 2013

·٠•●❤ CUKUPLAH WAHAI HATI ❤●•٠·




“Iman mencuitnya, dia membatu.. Iman menepuk2nya, tetap dia membeku. Iman mengetuknya, bersuara keras, “Cukuplah!”... Dia tersentak, spontan terdongak menatap iman... Iman merenungnya sambil berkata, seolah memujuk, “Wahai hati, cukuplah..” Dia tertunduk, terpasak tegak merenung jauh ke dalam bumi.. Bagai terdengar dirinya bermonolog. Setitis demi setitis kebekuannya mencair.

“Sesungguhnya mereka itu musuhku, melainkan Allah semesta alam iaitu Allah yang telah menciptakanku, maka Dialah yang memberi petunjuk kepadaku dan yang memberiku makan dan minum dan apabilaku sakit, Dialah yang menyembuhkanku dan mematikanku, kemudian menghidupkanku kembali dan yang sgtku inginkan akan mengampuni kesalahanku pada hari Qiamat..” (Asy- Syu’ara’: 77-82)

Dia terkedu, “Cukuplah wahai hati, cukuplah bagimu mencintai dunia semata, cukuplah sudah masa untukmu bermain dilapangan dunia. Sampai di sini sahaja wahai hati, sekarang mari kembali kepada Tuhanmu”, ujar iman, menyapu air mata hati. Dan jiwa mulai mengukir sebaris senyuman terindah buat hati. Garisan senyum hati dan jiwa berpadu, memandang iman penuh pengharapan, agar terus setia bersama.. YA ALLAH, ALHAMDULILLAH..

·٠•●❤ Tabahkanlah HATIMU duhai MUSLIMAH disaat dirimu TERLUKA. Anggaplah ujian ini sebagai ANUGERAH TERINDAH dari-Nya. Kerana Dia ingin sentiasa dekat dengan dirimu. Insya-Allah, Allah SWT sentiasa bersamamu.❤●•٠·

ALLAH ALLAH ALLAH...

Berbahagialah wahai hati yang diberi perhatian oleh PENCIPTA hati dengan ujian-ujianNYA..

ALLAH ALLAH ALLAH...






Monday 22 April 2013

Cinta Allah Cinta yang Hakiki (Khazinatul Asrar)




Bismillah..


"Waktu di sekolah dulu, Allah banyak uji saya dengan lelaki. Mula-mula rasa tak suka tapi lama-kelamaan saya seronok apabila diminati. Banyak surat cinta dan hadiah yang saya terima tanpa dipinta. Ada yang mengatakan inilah cinta kerana Allah. Hari-hari yang dilalui terasa lebih ceria apabila saya mengetahui diri ini amat dihargai. Namun, sifat pemalu membuatkan saya kelihatan seperti jual mahal, hakikatnya hati saya suka.

Saya terhanyut dek arus dari segi pemikiran saya. Kata-kata indah dan pujian di dalam surat-surat itu menyebabkan saya terlentok. Memang lelaki pandai bermain kata. Waktu itu hidup saya penuh dengan angan-angan. Kadang-kadang syaitan membisikkan agar saya melayani surat-surat yang datang. Tapi Alhamdulillah, berkat didikan yang saya dapat secara sedar ataupun tidak di sekolah agama, saya rasa malu dan bersalah untuk berbuat begitu biarpun waktu-waktu dalam hidup saya kian dibuai keasyikan.

Kemudian keasyikan itulah yang menjejaskan pelajaran saya. Saya tak dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam kelas. Ketika waktu ulang kaji pun, isi surat-surat itu menganggu minda saya untuk fokus. Saya terlalu asyik kerana mungkin itulah pengalaman paling mencabar dalam dunia remaja.

Saya mula bertanya diri, apakah yang telah angan-angan berikan dalam hidup saya ini? Hanyalah kegagalan. Cintalah punca angan-angan. Saya mula dilanda keliru dengan dunia cinta walaupun ianya cuma berlegar di sudut hati, bukan secara zahir. Saya tak pernah menterjemahkannya. Tapi, hatilah yang menjadi raja, pemberi arahan kepada seluruh anggota tubuh kita. Saya bertanya lagi, bersihkah hatiku ini? Layakkah hati sebegini untuk menadah nur ilmu? Bukankah ilmu itu cahaya dan cahaya takkan menembusi hati yang berbuat maksiat?

Saya rasa lebih bersalah lagi apabila keputusan peperiksaan akhir tahun saya agak merosot. Saya cemburu pada kawan-kawan yang sebelumnya tak pernah mengatasi saya dalam pelajaran tiba-tiba jauh meninggalkan saya. Saya buntu. Tak tahu nak mengadu pada siapa. 

Saban hari, dengan tazkirah dan usrah yang menjadi aktiviti wajib di sekolah, entah bagaiman saya rasa tertarik dengan ungkapan "cinta Allah". Menurut ustaz-ustaz dan naqibah, saya dapat simpulkan bahawa cinta Allah tak mengecewakan. CintaNya sentiasa membawa kebahagiaan kepada hati, perasaan dan kehidupan. Baru saya sedar bahawa dalam hidup ini, saya ada Allah untuk dicintai. Allah sentiasa menanti dengan penuh cinta terhadap hambaNya, cuma saya yang tak kenal cinta Allah. Pintu taubatnya terbuka luas untuk dikunjungi.

Saya mula bertekad untuk mencari cinta agung itu. Saya cuba bersihkan hati dengan mengamalkan banyak amalan sunat dan zikir. Tika itu, sukar juga untuk istiqamah terutamanya tahajud. Namun menyedari ada rahsia cinta Allah di sebalik amalan-amalan itu, saya paksa juga diri agar ia sebati menjadi sebahagian daripada kehidupan saya, darah daging saya. Saya mula dapat rasai kelainan pada suasana hati saya. Melihat kawan-kawan yang tak diuji dengan lelaki, saya terfikir alangkah indahnya kalau cinta untuk Allah ini tak pernah dicemari oleh cinta dusta manusia.

Rasa macam bodoh pula hidup dalam angan-angan cinta, sudahlah masih sekolah... Semua itu ternyata sia-sia. Buang masa dan boleh tergadai cita-cita.

Genap 17 tahun, saya genggam azam baru. Saya ketepikan lelaki daripada fikiran saya. Hati saya yakin bahawa cinta Allah mampu mencemerlangkan akademik saya kerana Dialah penentu segalanya. Bukan sekadar akademik, tapi cinta Allah mampu membawa kebahagiaan yang hakiki. Dialah sumber inspirasi dan pemberi motivasi.

Saya boleh rasakan bahawa saya amat perlukan Allah untuk membantu saya dalam mendepani fatamorgana dunia remaja. Cinta lelaki hanya merampas perasaan ini terhadap Kekasih Agung saya. Pemikiran saya rasa lebih terarah apabila sedikit sebanyak mengenal cinta Allah, seterusnya tindakan juga lebih terpandu. Saya mula memberi perhatian pada pelajaran dan habiskan waktu lapang untuk mengikuti majlis-majlis ilmu. Saya yakin bahawa tarbiah inilah yang mampu menyemarakkan lagi cinta saya pada Pencipta. Siang malam saya berdoa agar Allah hadirkan rasa cinta dan rindu kepadaNya dalam jiwa saya yang kosong ini. Saya ingin jatuh cinta pada Allah. Saya dapat rasakan ketenangan jiwa yang lebih bermakna.

Saya terus mencari cintaNya. Hinggalah keputusan SPM diumumkan, saya menjadi salah seorang pelajar terbaik di sekolah. Susah nak percaya. Semua itu kerana cinta Allah sebenarnya. Saya bertambah yakin bahawa cinta Allah takkan mengecewakan. Hanya bila tersemai semangat mencari cinta Allah dalm jiwa, barulah saya kenal nikmat cinta sebenarnya. Kudus dan suci. Sebab itulah pada usia ini, cinta Allah tak boleh dikongsi sesiapa. Itu prinsip saya."


Sumber : Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul, Fatimah Syarha Mohd Noordin.