Sunday 23 June 2013

Malam Nisfu Sya'ban



Bismillah..

Pada malam Nisfu Sya’ban hendaklah kita merebut peluang keemasan ini dengan cara menghidupkan malamnya dengan ibadat. Sebelum itu, pada siangnya eloklah berpuasa terlebih dahulu. Apabila selesai menunaikan solat Maghrib, disunatkan solat sunat dua rakaat. Selepas itu, hendaklah dibaca surah Yaasin sebanyak tiga kali dengan niat yang berbeza-beza sebagaimana yang akan dijalaskan nanti.

Disunatkan juga memperbanyakkan istighfar dan bertaubat daripada segala dosa serta meminta keampunan daripada Allah SWT untuk kedua ibu bapa serta keluarga di samping memperbanyakkan bacaan Al-Quran, bertasbih, berselawat dan melakukan solat-solat sunat.

Selain daripada itu, disunatkan juga memperbanyakkan doa kerana malam Nisfu Sya’ban merupakan malam yang paling mustajab dan penuh rahmat.
Rasulullah SAW bersabda : maksudnya

“Ada lima malam yang tidak ditolak permintaan (doa) iaitu malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, dua malam iaitu malam Hari Raya Aidilfitri dan malam Hari Raya Aidiladha”.

Di dalam kitab Durratun Nasihin dinyatakan hadith yang bermaksud :
“Jibril telah datang kepadaku pada malam Nisfu Sya’ban dan berkata :

“Wahai Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat sedang di buka, oleh itu bangunlah dan kerjakanlah sembahyang, kemudian angkat kepalamu serta kedua-dua tanganmu ke langit.” Aku (Rasulullah) bertanya: “Wahai Jibril, apakah gerangan malam ini?” Jibril menjawab : “Pada malam ini telah di buka 300 pintu rahmat, maka Allah SWT mengampun semua orang yang tidak menyekutukanNya dengan sesuatu melainkan (yang tidak diampuni) ialah tukang sihir,tukang tilik nasib, orang yang sangat suka bermusuhan, peminum arak, pelacur, orang yang makan riba, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapa,orang yang suka mengadu domba, dan orang yang memutuskan silaturrahim. Maka sesungguhnya mereka tidak akan bertaubat dan meninggalkan pekerjaan maksiatnya”.

Antara Peristiwa di Bulan Sya’ban

1. Malam Nisfu Sya’ban pada 14 Sya’ban.Keagungan malam Nisfu Sya’ban seumpama keagungan Rejab dengan malam Isra’  Mikrajnya dan keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya.
2. Berlaku penukaran qiblat dari Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Masjidil Haram, Mekah pada 15 Sya’ban.
3. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada bulan Sya’ban tahun kelima hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.
4. Perang Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.

Bacaan Yaasin Pada Malam Nisfu Sya’ban

Pada malam Nisfu Sya’ban, disunatkan membaca Surah Yaasin sebanyak tiga kali berturut-turut dengan niat doa yang berbeza-beza sebagaimana berikut :
1. Bacaan Yaasin yang pertama memohon supaya Allah SWT memanjangkan umur di dalam ketaatan kepadaNya dan sentiasa beramal soleh.
2. Bacaan kali kedua memohon supaya di tolak segala bala’ dan bencana yang bakal menimpa.
3. Bacaan kali ketiga memohon supaya kita tidak berhajat melainkan kepada Allah SWT dan memohon supaya dimurahkan rezeki yang halal.
Setiap kali selesai membaca Yaasin, hendaklah membaca doa ini :





Thursday 13 June 2013

Terimalah Teguran Itu


Tegurlah saya, Nasihatilah saya. :')


Bismillah..

Let’s have a read and kita renungkan bersama-sama. :-)

Dua perkara yang banyak membantu kita menjadi seorang manusia yang baik ialah:

1. Ditegur
2. Menegur

Ditegur maksudnya kita menerima nasihat seseorang agar jadi lebih baik. 
Menegur maksudnya kita nasihatkan seseorang agar jadi lebih baik.

Hasilnya dapat PAHALA.

NAMUN, tegur menegur itu haruslah berdasarkan ikhlas, iman dan redha Allah. Kadang-kadang kita tak berapa suka ditegur dan menegur.

Kalau kita ditegur, maka ego kita akan tercabar.
Kalau kita menegur takut ego orang lain pula tercabar atau terasa.

Lalu kita kata siapalah kita ni nak tegur-tegur orang. Rupa-rupanya bila dihitung berkali-kali, kalau kita abaikan dua amalan ini KITA AKAN RUGI.

Memanglah kita akan terasa MALU bila ditegur, tapi lapangkanlah dada, terimalah teguran itu yang boleh MEMBAWA KEBAIKAN pada diri. Teguran mendidik jiwa hati dan akhlak. Kalau tidak, kita akan LUPA DIRI, DIULIT RASA EGO. Namun dalam banyak-banyak teguran terselit teguran yang AMAT BERMAKNA, iaitu teguran dari ALLAH.

Kita sering tak terperasan, ALLAH menegur kita. Bila kita rasa PANDAI, HEBAT, MULIA maka ALLAH SAYANG kat kita, ALLAH TEGUR kita. Cuba perhatikan ALLAH tegur kita semasa kita mendapat malu atas sesuatu perkara, semasa kita terjatuh, semasa berjalan.

Diantaranya paling halus ialah ALLAH menegur kita semasa kita BUAT SALAH secara TIDAK SENGAJA pada SESEORANG, lalu kita rasa BERSALAH dan MENYESAL.
Lantas PINTALAH KEMAAFAN darinya. Betapa teguran daripada ALLAH membawa MAKSUD bahawa kita harus SEDAR KELEMAHAN DIRI KITA sebagai HambaNYA. Kemudian kembalilah kepada ALLAH dengan penuh RASA SYUKUR dan MERENDAH DIRI.

Ingatlah SAHABAT… Kita MANUSIA BIASA, punya KELEMAHAN dan KEKUATAN tersendiri.

Setiap manusia ada VALUE masing-masing, cuma mungkin setakat ini kita MASIH BELUM NAMPAK.
Usah bersedih, sebaliknya bermujahadah untuk mencapainya. Semua perkara adalah sukar sebelum menjadi mudah.

ANDA SEORANG YANG ISTIMEWA DAN UNIK. 

Think of that. Wassalam. 

Wallahualam.

Maka, beruntunglah kita kalau sedia menerima teguran :")

Sunday 9 June 2013

Senyum Selalu Seperti Rasulullah SAW :)








Bismillah..


Bukan sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.

Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.

Banyak Tersenyum

Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,

"Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya."
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)


Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,

"Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)


Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,

"Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas."

Senyum Kepada Sesiapa Sahaja

Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:

"Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?"
Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, "Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu".


Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.

Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.

Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.

Bertegas Bila Perlu

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).

Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

"Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?"


Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:

"Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya".

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.


SENYUM SELALU.. (^-^)

Wednesday 5 June 2013

PERISTIWA ISRAK & MIKRAJ







Bismillah..


1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
2. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.
3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.
4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”.

Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberapa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam. (Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)


Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.



Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). 


Sumber :
OH! Islam: Sebarkan artikel ini walau dengan satu ayat. Semoga anda mendapat balasan setimpal dengan apa yang dilakukan. Wallahu'alam.

Sunday 2 June 2013

Tetamu yang Dirindui..






Ramadhan bakal menjelma.

Bulan yang terkandung keberkatan, kerahmatan dan keampunan, serta bulan yang dijanjikan gandaan pahala yang melimpah-ruah. Kedatangannya amat dinanti-nantikan oleh orang yang bertaqwa. Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadhan bukan lagi satu rahsia. Allah SWT telah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar dan diredhai.

Firman Allah SWT:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)...” (al-Baqarah: 185)

Ada yang merasa gembira dan senang dengan kedatangan Ramadhan, kegembiraannya seperti menunggu kedatangan sang kekasih yang amat dirindui. Ini ditunjukkan oleh para sahabat generasi awal. Diceritakan para sahabat menanti Ramadhan seumpama menanti hari perkahwinan. Doa sentiasa dipanjatkan untuk sampai ke bulan yang dirindui. Tiada seorang pun antara kaum Muslimin yang bersedih hati ketika menghadapi Ramadhan. Sebaliknya mereka bersuka cita dan bergembira, menyambutnya dengan penuh cerdas dan semangat yang menyala-nyala.

Saiyidina Umar al-Khattab ra. amat gembira setiap kali menjelang ramadhan dan beliau akan berkata:

“Selamat datang bulan yang akan membersihkan kami, sebab Ramadhan ini semuanya baik, puasa pada siang harinya dan bangun pada malamnya, dan sedekah (belanja) dalam bulan ini sama dengan membelanjai perjuangan jihad fi sabilillah.”

Diceritakan ada di antara ulama silam yang berdoa enam bulan sebelum kedatangan Ramadhan agar mereka dapat memasuki bulan Ramadhan. Begitulah gambaran seorang Muslim yang merindui datangnya Ramadhan.

Ada juga yang biasa-biasa sahaja dengan kedatangan Ramadhan. Baginya bulan Ramadhan tiada beza dengan bulan-bulan yang lain. Makan minum dan apa sahaja kegiatannya sama sahaja dengan bulan lain.Merasa senang dengan hari-hari yang telah dilaluinya, tidak nampak keistimewaan Ramadhan itu.

Yang lebih teruk ialah mereka yang rasa terbeban dan terseksa dengan kedatangan Ramadhan. Seolah-olah Ramadhan adalah tetamu yang tidak diundang. Menunggu-nunggu berakhirnya Ramadhan dengan keluh kesah, manakala Idul Fitri seperti hari kemerdekaan lagaknya.

Tak kenal maka tak cinta

Satu analogi!

Bagaimana perasaan kita jika seorang rakan memperkenalkan kita dengan seorang rakannya. Mungkin kita rasa biasa dan tidak mahu berlebih-lebih mengambil tahu kerana kita tidak mengenalinya. Kita rasa dia seorang yang biasa sahaja.

Bagaimana pula jika diperkenalkan dengan rakannya yang kta ketahui seorang yang hebat, popular, baik hati, public figure. Tidakkah kita merasa teruja untuk bersahabat dengannya? Kalau boleh mahu bercakap-cakap setiap masa dengannya.

Begitulah perbandingan bagi orang yang mengetahui kehebatan dan keistimewaan Ramadhan. Pasti dia tidak sabar-sabar menanti kedatangan Ramadhan. Dan kalau boleh biarlah Ramadhan sepanjang tahun kerana tidak mahu berpisah dengannya.

Oleh itu, perlu untuk kita mempelajari dan mengetahui keistimewaan serta kelebihan Ramadhan agar hati kita sentiasa tumbuh kerinduan padanya. Barulah kita terasa bahagia dan gembira bukan terbeban dan terseksa.

Ramadhan, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi, ketiadaannya dirindui.